Adakah aku berkira?

Malam tadi saya membawa keluarga makan di luar. Setelah memilih restoren yang agak dapat memuaskan hati, akhirnya saya memasuki sebuah kedai makan.

Isteri dan anak anak keluar dahulu dari kereta mencari tempat duduk yang selesa di dalam restoren manakala saya pula mencari tempat meletak kereta yang berdekatan dengan restoren tersebut.

Along meminta Nasi Ayam dan air jus laici manakala Angah pula meminta Nasi Goreng Cina dan air "fresh orange". Achik pula tidak tahu nak makan apa lantas meminta air "fresh orange"sahaja. Saya dan isteri pula menambah pintaan untuk menu Nasi Ayam dan air "fresh orange".

Setelah menunggu tidak berapa lama, akhirnya Nasi Goreng Cina Angah yang sampai dulu. Saya mengambil kesempatan untuk merasa nasi gorengnya. Nasi goreng Angah yang kosong tanpa aroma itu agak tawar rasanya. 

Kemudian sampai pula air-air yang diminta tadi. Air "fresh orange" agak sedap dan manis. Begitu juga dengan air laici. Kata Along, air laicinya juga sedap. Tapi bagi saya agak sayang, air sesedap itu hanya sedikit sahaja yang ada di dalam gelas sebab gelas sudah dipenuhi oleh ais. Dengan kata lain, bilangan ais terlalu banyak hingga hanya sedikit air sahaja yang boleh dimasukkan ke soalan gelas. Keadaan itu menyebabkan saya sedikit kecewa seolah-olah sengaja pihak kedai ingin mengaut untung lebih.

Kemudian Nasi Ayam yang kami minta pula sampai. Nasi ayamnya agak sedap dan sesuai dengan selera kami.

Setelah selesai menjamu selera, saya bersama anak-anak ke singki untuk membasuh tangan. Saya tercari-cari tisu kerana tidak disediakan di meja makan. Rupanya tisu tersebut hanya ada di atas kaunter, di dalam sebuah bakul, dengan ditindan dengan sebiji batu bulat.  Mungkin untuk mengelakkan tisu daripada terbang ditiup angin agaknya. Namun alangkah baiknya jika setiap meja disediakan tisu.

Kejadian-kejadian ini menyebabkan saya sebagai pelanggan menganggap pihak restoren ini amat kedekut dan berkira.

Nasib baiklah layanan dari pelayannya amat ramah dan baik walaupun pada pendapat isteri saya harga yang dibayar untuk semua makanan itu sedikit mahal.

Tapi bila saya fikirkan kembali, adakah tauke restoren yang berkira atau saya yang berkira?

Kisah Dua Beradik

Entri ini adalah khas untuk pembacaan anak-anakku.

Di dalam sebuah kampung ada sebuah keluarga yang hidup gembira. Si ayah bekerja di ladang. Si ibu pula bekerja mengambil upah mengemas rumah. Mereka telah dikurniakan dengan dua orang anak lelaki. Yang sulung dipanggil Along. Adiknya pula dipanggil Angah. 

Walaupun mereka hidup dalam kesempitan dan serba kekurangan namun mereka amat bahagia. Mereka saling menyayangi antara satu sama lain dan sentiasa bersyukur kepada tuhan.

Jika ada makanan, mereka berkongsi seadanya. Jika banyak mereka bersyukur, jika sedikit pun mereka tetap bersyukur. Mereka tidak pernah mengeluh dengan ujian daripada tuhan.

Along dan Angah pula tidak pernah meminta yang bukan-bukan dari ibu bapa mereka. Apa yang disediakan, itulah yang mereka pakai dan guna. Kasih sayang dan cinta ayah-ibu kepada mereka sudah cukup. Mereka tidak memerlukan baju baru, mereka juga tidak menginginkan makanan yang mewah-mewah - cukup dengan setiap petang ayah mereka membawa mereka bersiar-siar dengan membonceng basikal buruknya. Basikal yang sudah berpanau dengan karat itulah yang amat Along dan Angah hargai.

Ibu bapa mereka amat bersyukur mendapat anak anak yang sangat baik dan soleh.

Pada suatu hari, si ayah menunggang basikal buruknya untuk pergi bekerja di ladang seperti biasa. Sampai di simpang empat berdekatan ladang, kedengaran deruman sebuah kereta antah dari mana datangnya. Malang tidak berbau, sebelum sempat si ayah melihat ke belakang, basikal yang ditunggang si ayah telah dilanggar-lari oleh sebuah kereta. Tubuh si ayah tercampak ke udara dan tercampak ke sisi jalan. Si ayah meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Berita kemalangan dan kematian si ayah cepat tersebar dan akhirnya sampai ke pengetahuan si ibu. Lantas si ibu amat terkejut kerana telah kehilangan satu-satunya tempat bergantung. Akibat perasaan sedih dan kecewa yang amat menebal, si ibu yang terlalu patah hati itu menghembuskan nafas terakhirnya semasa jenazah suaminya di bawa pulang ke rumah.

Along dan Angah yang masih kecil tidak mengerti apa yang telah berlaku. Dua kujur tubuh yang berselimut putih di ruang tamu rumah mereka adalah milik ibu dan bapa mereka. Pada hemat  mereka ibu dan ayah mereka sedang tidur. 

Dengan tidak semena-mena, Angah yang tadi asyik masih bermain di luar rumah datang bertanya Along. 

Kenapa ramai orang berpusu pusu datang rumah mereka. Kenapa ayah dan ibu tidur tidak bangun-bangun. Kenapa orang duduk mengelilingi ayah dan ibu. Kenapa ramai orang membaca Al Quran. Kenapa...Kenapa...Kenapa... 

Along tidak ada jawapan untuk soalan soalan daripada adiknya. Along juga tidak tahu kenapa ramai orang dirumahnya. Along juga tidak mengerti kenapa ibu dan ayahnya tidur tidak bangun bangun walaupun hingar orang membaca surah Yaasin. Along juga masih kecil untuk mengerti bahawa mulai saat itu dia dan Angah sudah bergelar anak yatim piatu.

Yang Along faham, walaupun hari ini agak aneh dan tidak mampu difahaminya, pasti esok ibu dan ayah tetap memeluknya seperti hari hari kebiasaannya. Pasti esok ibu tetap menyuapkan Angah makan nasi sambil Angah membuka mulut luas luas. Esok pasti ayah akan membawa Along dan Angah ke Pasar Malam dengan membonceng basikal buruk ayah. 

Tapi, mana basikal ayah?

........ bersambung di bahagian kedua.....

Cuti.sekolah.hampir.tamat.

Akhirnya cuti pertengahan penggal persekolahan hampir ke penghujungnya. 

Tapi anak anak ku masih lagi riang ria bermain tanpa menunjukkan mereka sudah bersedia untuk kembali ke sekolah. Along masih belum menyiapkan kerja sekolah yang diberi cikgu-cikgunya. Angah pula seperti biasa, masih setia dengan rancangan kartun di televisyen. Cuma Achik yang baru tadika tidak sabar-sabar untuk ke sekolah.

Ummi mereka pula mengeluh tidak puas bercuti dan tak menang tangan membereskan persiapan-persiapan rumah dan persekolahan anak-anaknya. Banyak lagi urusan urusan dirumah yang belum selesai katanya.

Bagiku pula, aku amat bersyukur kepada Ilahi kerana dalam kesempatan cuti sekolah ini, banyak sudah perancanganku yang menjadi kenyataan. 

Anak kecil aku yang baru, Ammar dapat dikenalkan kepada jiran-jiran dan masyarakat melalui Majlis Bercukur. Dalam pada itu juga sempat aku mengadakan Majlis Kesyukuran sempena rezeki yang tuhan berikan. Isteriku juga nampaknya semakin sihat selepas melahirkan. Anak-anak juga semakin rapat dengan datuk dan nenek mereka.

Alhamdulillah, projek tangki air dan bilik stor baru juga telah sempurna dan sempat siap. Begitu juga dengan projek "tapak gajah", pintu pagar "sliding" dan "awning" tambahan. Semuanya sudah selesai.

Cuma sekarang, minda saya perlu bersedia untuk masuk kerja semula kerana buat masa ini saya rasa keinginan dihati lebih banyak untuk menyambung cuti. Namun amanah tetap saya junjung tinggi. Banyak kerja sedang menanti untuk dibereskan. 

Jadi menjadi tanggungjawab ku menyedarkan isteri dan anak-anak ku agar sentiasa bersedia untuk hati mendatang agar kecemerlangan dapat dikecapi.

Ayuh, anak anakku, bangunlah dari tidur mu... sekolah sudah bermula!

Usah kau lena dalam mimpimu. Sekarang adalah masa untuk menggapai keredhaan dalam pelajaran mu. 

Ayuh! Bangunlah.

Terkuburnya Satu Impian

Pada awalnya saya hanyalah seorang murid kepada teknologi internet. Segala kepandaian yang dikurniakan Allah saya mahu kongsi dan sebarkan kepada semua.

Namun, dalam tahun tahun yang mencabar ini, akhirnya saya terpaksa akur. Saya hanyalah  seseorang yang hanya pandai memasang cita cita. 

Blog yang saya sayangi ini telah gagal dan hampir terkubur begitu sahaja. Saya hilang haluan dan arah tuju untuk memajukan impian asal saya untuk blog ini.

Sepanjang tahun tahun ini, arah blog ini telah berubah berkali kali hingga saya sendiri tidak memahami apa yang sepatutnya dihasilkan melalui tulisan saya. Impian itu telah terkubur?

Mungkin?

Saya seperti terpenjara dalam minda sendiri. Tidak tahu apa yang sepatutnya saya lakukan untuk membebaskan diri. Tiada lagi keghairahan. Tiada lagi semangat. Tiada lagi imaginasi untuk mengarang. 

Impian sudah terkubur? Ya, mungkin...

Untuk apa impian itu jika saya sendiri tidak percaya dengan kemampuan diri sendiri? Untuk apa impian itu jika saya sendiri tidak mahu berjuang untuknya? Adakah saya sudah mengalah?

Impian sudah pun terkubur? 

Terlalu mudah untuk mengalah. Ya...Terlalu mudah hingga ia amat menjelekkan dan memualkan. Tanpa sedar rupanya saya masih ada sedikit keringat dan semangat yang masih hangat untuk meneruskan impian ini.

Biar apapun orang berkata. Biar apa pun yang mendatang. Impian ini akan diteruskan. 

Setitis ilmu tuhan ini akan berkumandang di alam maya. Mungkin ia tidak mendatangkan apa apa kebaikan mahu pun keburukan. Mungkin ia hanya akan menjadi sebutir pasir di pantai. Namun, tak akan sekali kali impian ini dikuburkan. 

Sesungguhnya, IMPIAN ini masih belum berkubur...

Keindahan berblog

Salam semua. 

Semalam saya ada menyatakan blog Minda ICT ini akan berubah arah... Tapi berubah bagaimana?

Kenapa pula perlu dipertahankan blog ini sedangkan Facebook dan Twitter adalah pilihan masa kini.

Pada saya...blog, facebook dan twitter itu merupakan medium sosial yang agak sama tapi mempunyai fungsi berbeza. Saya tidak minat ber"facebook" dan ber"twitter" dan menyampaikan aktiviti hidup harian saya. 

Namun saya suka menulis dan berkongsi maklumat-maklumat ilmiah melalui blog.

Jadi saya rasa ada baiknya jika saya berubah arah sekali lagi dan kekal ber"blog" mengenai apa apa sahaja topik yang saya minati.

P/S: Ya... Saya tahu, blog ini terlalu banyak iklan. Saya akan rekabentuk semula rekabentuk dan suaun aturnya nanti. Insya Allah.

Arah berubah lagi

Salam kepada semua pembaca. 

Nampaknya Blog MindaICT sudah lama terbiar. 

Maaf kepada semua.

Namun, akhir-akhir ini saya berasa bersemangat kembali untuk menghidupkan semula blog kesayangan saya ini.

Nantikan blog Minda ICT dengan kandungan kandungan kritis dan terkini. Insya Allah.