Kisah Dua Beradik
Entri ini adalah khas untuk pembacaan anak-anakku.
Di dalam sebuah kampung ada sebuah keluarga yang hidup gembira. Si ayah bekerja di ladang. Si ibu pula bekerja mengambil upah mengemas rumah. Mereka telah dikurniakan dengan dua orang anak lelaki. Yang sulung dipanggil Along. Adiknya pula dipanggil Angah.
Walaupun mereka hidup dalam kesempitan dan serba kekurangan namun mereka amat bahagia. Mereka saling menyayangi antara satu sama lain dan sentiasa bersyukur kepada tuhan.
Jika ada makanan, mereka berkongsi seadanya. Jika banyak mereka bersyukur, jika sedikit pun mereka tetap bersyukur. Mereka tidak pernah mengeluh dengan ujian daripada tuhan.
Along dan Angah pula tidak pernah meminta yang bukan-bukan dari ibu bapa mereka. Apa yang disediakan, itulah yang mereka pakai dan guna. Kasih sayang dan cinta ayah-ibu kepada mereka sudah cukup. Mereka tidak memerlukan baju baru, mereka juga tidak menginginkan makanan yang mewah-mewah - cukup dengan setiap petang ayah mereka membawa mereka bersiar-siar dengan membonceng basikal buruknya. Basikal yang sudah berpanau dengan karat itulah yang amat Along dan Angah hargai.
Ibu bapa mereka amat bersyukur mendapat anak anak yang sangat baik dan soleh.
Pada suatu hari, si ayah menunggang basikal buruknya untuk pergi bekerja di ladang seperti biasa. Sampai di simpang empat berdekatan ladang, kedengaran deruman sebuah kereta antah dari mana datangnya. Malang tidak berbau, sebelum sempat si ayah melihat ke belakang, basikal yang ditunggang si ayah telah dilanggar-lari oleh sebuah kereta. Tubuh si ayah tercampak ke udara dan tercampak ke sisi jalan. Si ayah meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.
Berita kemalangan dan kematian si ayah cepat tersebar dan akhirnya sampai ke pengetahuan si ibu. Lantas si ibu amat terkejut kerana telah kehilangan satu-satunya tempat bergantung. Akibat perasaan sedih dan kecewa yang amat menebal, si ibu yang terlalu patah hati itu menghembuskan nafas terakhirnya semasa jenazah suaminya di bawa pulang ke rumah.
Along dan Angah yang masih kecil tidak mengerti apa yang telah berlaku. Dua kujur tubuh yang berselimut putih di ruang tamu rumah mereka adalah milik ibu dan bapa mereka. Pada hemat mereka ibu dan ayah mereka sedang tidur.
Dengan tidak semena-mena, Angah yang tadi asyik masih bermain di luar rumah datang bertanya Along.
Kenapa ramai orang berpusu pusu datang rumah mereka. Kenapa ayah dan ibu tidur tidak bangun-bangun. Kenapa orang duduk mengelilingi ayah dan ibu. Kenapa ramai orang membaca Al Quran. Kenapa...Kenapa...Kenapa...
Along tidak ada jawapan untuk soalan soalan daripada adiknya. Along juga tidak tahu kenapa ramai orang dirumahnya. Along juga tidak mengerti kenapa ibu dan ayahnya tidur tidak bangun bangun walaupun hingar orang membaca surah Yaasin. Along juga masih kecil untuk mengerti bahawa mulai saat itu dia dan Angah sudah bergelar anak yatim piatu.
Yang Along faham, walaupun hari ini agak aneh dan tidak mampu difahaminya, pasti esok ibu dan ayah tetap memeluknya seperti hari hari kebiasaannya. Pasti esok ibu tetap menyuapkan Angah makan nasi sambil Angah membuka mulut luas luas. Esok pasti ayah akan membawa Along dan Angah ke Pasar Malam dengan membonceng basikal buruk ayah.
Tapi, mana basikal ayah?
........ bersambung di bahagian kedua.....
Post a Comment