Adakah aku berkira?
Malam tadi saya membawa keluarga makan di luar. Setelah memilih restoren yang agak dapat memuaskan hati, akhirnya saya memasuki sebuah kedai makan.
Isteri dan anak anak keluar dahulu dari kereta mencari tempat duduk yang selesa di dalam restoren manakala saya pula mencari tempat meletak kereta yang berdekatan dengan restoren tersebut.
Along meminta Nasi Ayam dan air jus laici manakala Angah pula meminta Nasi Goreng Cina dan air "fresh orange". Achik pula tidak tahu nak makan apa lantas meminta air "fresh orange"sahaja. Saya dan isteri pula menambah pintaan untuk menu Nasi Ayam dan air "fresh orange".
Setelah menunggu tidak berapa lama, akhirnya Nasi Goreng Cina Angah yang sampai dulu. Saya mengambil kesempatan untuk merasa nasi gorengnya. Nasi goreng Angah yang kosong tanpa aroma itu agak tawar rasanya.
Kemudian sampai pula air-air yang diminta tadi. Air "fresh orange" agak sedap dan manis. Begitu juga dengan air laici. Kata Along, air laicinya juga sedap. Tapi bagi saya agak sayang, air sesedap itu hanya sedikit sahaja yang ada di dalam gelas sebab gelas sudah dipenuhi oleh ais. Dengan kata lain, bilangan ais terlalu banyak hingga hanya sedikit air sahaja yang boleh dimasukkan ke soalan gelas. Keadaan itu menyebabkan saya sedikit kecewa seolah-olah sengaja pihak kedai ingin mengaut untung lebih.
Kemudian Nasi Ayam yang kami minta pula sampai. Nasi ayamnya agak sedap dan sesuai dengan selera kami.
Setelah selesai menjamu selera, saya bersama anak-anak ke singki untuk membasuh tangan. Saya tercari-cari tisu kerana tidak disediakan di meja makan. Rupanya tisu tersebut hanya ada di atas kaunter, di dalam sebuah bakul, dengan ditindan dengan sebiji batu bulat. Mungkin untuk mengelakkan tisu daripada terbang ditiup angin agaknya. Namun alangkah baiknya jika setiap meja disediakan tisu.
Kejadian-kejadian ini menyebabkan saya sebagai pelanggan menganggap pihak restoren ini amat kedekut dan berkira.
Nasib baiklah layanan dari pelayannya amat ramah dan baik walaupun pada pendapat isteri saya harga yang dibayar untuk semua makanan itu sedikit mahal.
Tapi bila saya fikirkan kembali, adakah tauke restoren yang berkira atau saya yang berkira?
Post a Comment