Kenapa saya pilih Ubuntu ? Pt.3
Fleksibel
Linux telah digunakan dalam pelbagai peralatan elektronik. Ia dipasang dalam desktop PC, notebook, telefon bimbit, routers, peti-sejuk,oven,mesin basuh,kereta,kapal-terbang dan sebagainya. Di sebelah adalah cekupan skrin router dlink yang nyatanya menggunakan sistem Linux.
Linux memberikan kita satu tahap kelenturan yang tiada pada sistem operasi lain. Selalunya ada banyak penyelesaian untuk satu masalah dan banyak perisian yang boleh digunakan. Malahan kita boleh memilih sistem GUI (desktop) kita sendiri dan sekiranya kita tidak berpuas hati dengan sistem yang ada, kita boleh ubahkan agar sesuai dengan kita dan 100% unik.
Dengan Ubuntu Linux, pemasangan perisian amat mudah. 99% perisian untuk Ubuntu sudah tersedia dalam Sistem Pemasangan Perisian. Kita hanya perlu pilih sahaja. Sistem Ubuntu akan memindah-turun dan memasang perisian tersebut secara automatik.
Ringkas
Ubuntu Linux adalah sistem pengoperasian yang paling mudah dipelajari pada hari ini. Kebanyakan kesulitan yang timbul untuk pengguna kali pertama Ubuntu adalah kerana mereka hanya pernah menggunakan satu sistem pengoperasian sahaja.
Hakikatnya, pengguna komputer baru didapati lebih cepat mahir menggunakan Ubuntu Linux berbanding Sistem Pengoperasian lain. Cuba bayangkan anda seorang yang buta komputer dan anda mahu menutup komputer. Adakah arahan Shut-down melalui perkataan 'Mula' (butang Start) membantu anda?
*Dalam Ubuntu, arahan Shut-down (Quit) berada di Menu [System].
Setelah kita biasa dengan persekitaran Ubuntu (paling lama hanya perlukan beberapa hari), anda akan berasa bahawa rupanya kita boleh melakukan kerja dengan lebih cepat dan banyak lagi yang boleh dilakukan dengan komputer kita. Kita akan berasa selesa dengan sistem sedia atau jika mahukan lebih lagi, kita boleh mengubah sistem kita itu ke tahap seterusnya.
Yang paling hebatnya, kita boleh gunakan Ubuntu terus daripada CD/ DVD (Tidak perlukan pemasangan ke dalam komputer). Malahan sekiranya kita menggunakan Ubuntu Hardy Heron (versi terkini sekarang), kita boleh install Ubuntu sebagai satu program biasa dalam Microsoft Windows, tanpa perlu membina partisi hardisk.
Rakan saya masih mengangguk-anggukkan kepala sambil menggaru-garukan kepalanya. Lalu dia mengeluarkan kata-kata. Katanya, saya dah bercakap panjang tapi belum lagi menjawab soalan asal. Kenapa saya menggunakan Ubuntu dan bukannya Fedora?
Saya mengeleng-ngelengkan kepala sambil mengangkat sedikit kening, seraya saya jelaskan bahawa semuanya saya sudah jawab. Saya gunakan Linux, itulah jawapannya. Tidak kisahlah Ubuntu atau Fedora kerana kedua-duanya sama hebat. Kedua-duanya Linux. Cuma saya lebih selesa dengan Ubuntu manakala rakan saya lebih selesa dengan Fedora. Inilah kekuatan Linux, satu kebebasan untuk memilih yang terbaik untuk diri masing-masing.
Dulu saya gunakan Red-Hat (Ibu kepada Fedora), lepas itu Mandrake (Mandriva sekarang), kemudian Gnopix, Suse dan sebagainya. Cuma buat masa ini saya sukakan Ubuntu. Masa hadapan mungkin satu distro Linux baru yang lebih serasi dengan saya akan timbul dan saya mungkin akan memilih yang itu pula. Ini pasti akan berlaku kerana Linux adalah sumber terbuka, bermakna proses penambahbaikan dan penaiktaraf sentiasa berlaku dengan pantas.
Nampaknya rakan saya boleh menerima jawapan saya itu dan akhirnya menunjukkan minat untuk mencuba distro Linux yang lain. Apa-apa pun kita perlu tenangkan hati bukakan minda untuk belajar ilmu baru. Wallahu-alam.
Loading image
Click anywhere to cancel
Image unavailable
Post a Comment